Thursday, June 2, 2011

Saiyidina Umar Al-Khattab RA.

Kisah ini merupakan suatu perkara yang benar-benar berlaku di zaman pemerintahan Saiyidina Umar Al-Khattab RA. Beliau adalah seorang mukmin yang sejati, teguh iman dan amat taqwa kepada Allah SWT. Justeru kerana kekuatan imannya kepada Allah SWT, maka doanya sentiasa diperkenankan oleh Allah SWT.

Semasa pemerintahan Khalifah ke-2 ini, empayar Islam telah berkembang bukan setakat Semenanjung Arab sahaja malah Rom dan Parsi juga telah dapat dibebaskan dari kezaliman pemerintah mereka kepada keadilan dan keamanan yang dibawa oleh pemerintahan Islam.

Kisah ini berlaku di Mesir, ketika itu Khalifah Umar telah melantik seorang pahlawan Islam yang gagah perkasa iaitu Amru Al-As RA sebagai Gabenor di Mesir. Penduduk Mesir ketika itu baru sahaja menganut agama Islam, penduduk asalnya berbangsa Qibti. Sesetengah mereka menganut agama Islam dan sesetengah dari mereka masih dengan agama asal nenek-moyang mereka, ini kerana tiada paksaan dalam Islam, mereka bebas sama ada mahu menerima Islam atau tidak.

Suatu peristiwa ganjil dan aneh berlaku semasa Amru Al-As RA menjadi Gabenor Mesir. Sungai Nil kelihatan mulai surut airnya, airnya tidak melimpah-limpah seperti biasa. Sungai Nil amat penting kepada penduduk kerana ia adalah nadi kehidupan di sana, sungai Nil digunkan untuk menyiram kawasan pertanian dan sebagai sumber air untuk kehidupan mereka. Peristiwa ini amat mencemaskan penduduk Mesir.

Sebelum memeluk Islam, sebahagian besar orang Mesir adalah penyembah matahari. Di antara adat mereka semasa jahiliyyah ialah mengorbankan seorang anak dara pada waktu-waktu tertentu sebagai persembahan kepada Dewa Sungai Nil supaya air sungai Nil sentiasa mengalir.

Dalam keadaan cemas, penduduk berjumpa dengan Gabenor Mesir dan mendesak Amru Al-As RA supaya melakukan adat jahiliyyah tersebut bagi mengatasi masalah sungai Nil ini. Walaupun mereka telah memeluk Islam tetapi masih tertanam kepercayaan jahiliyyah yang telah diamalkan turun-temurun. Amru Al-As RA keberatan menunaikan permintaan mereka kerana adat ini khurafat dan syirik kerana menyembah selain dari Allah SWT. Gabenor meminta tangguh dahulu kerana ingin bertanyakan kepada Khalifah Umar Al-Khattab RA bagi menyelesaikan masalah ini bagi memuaskan hati penduduk Mesir. Amru Al-As RA menulis sepucuk surat kepada khalifah menceritakan dengan jelas masalah yang dihadapinya, semoga khalifah dapat memberikan pandangan bagi menyelesaikan masalah tersebut demi kepentingan rakyat.

Khalifah Umar Al-Khattab r.a. menerima surat tersebut, apabila dibaca, air muka beliau berubah kerana marah dengan sikap penduduk Mesir. Katanya, “Adat ini terang sekali syirik hukumnya. Terang sekali bertentangan dengan ajaran agama kita yang suci. Bukankah Allah SWT yang sebenarnya patut disembah kerana Dialah Yang Maha Kuasa, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Demi Allah, aku sama sekali tidak akan membenarkan penduduk Mesir melakukan adat yang kejam dan bodoh ini”.

Setelah itu, Umar al-Khattab RA mengambil sehelai kertas dan menulis sepucuk surat sebagai balasan kepada Gabenor Mesir. Beberapa hari kemudian surat tersebut pun sampai. Ketika itu sungai Nil semakin surut dan mulai kering, penduduk bertambah gelisah dan cemas.

Amru Al-As sangat gembira lalu membuka surat dari khalifah, alangkah terkejutnya beliau kerana surat itu bukan ditujukan kepadanya sebaliknya Umar Al-Khattab menujukan surat itu kepada sungai Nil. Setelah membacanya Amru Al-As pun terus mencampakkan surat itu ke dalam sungai Nil. Dengan kuasa Allah SWT setelah surat itu jatuh ke dalam sungai Nil dalam sekejap masa air Sungai Nil mulai naik dan akhirnya melimpah-ruah ke kawasan tanah disekelilingnya. Kejadian yang anih ini disaksikan sendiri oleh penduduk Mesir. Semenjak hari itu iman mereka mula teguh dan mereka tidak mengamalkan adat jahiliyyah tersebut.

Surat khalifah Umar al-Khattab itu berbunyi antara lain maksudnya "Surat ini dikirimkan oleh Umar, Amirul Mukminin kepada Sungai Nil, kalaulah air yang mengalir pada tubuhmu itu bukan dari kuasa Allah maka kami tidak sekali memerlukan engkau! Tetapi kami percaya Allah itu Maha Kuasa dan kepadaNyalah kami bermohon supaya engkau mengalir seperti sediakala"


=D. Subhanallah..

2 comments:

abu idris said...

Ar Rayah World News
http://www.arrayah.info/
Berita Terkini Kebangkitan Negara Islam Global - Khilafah Islamiyah

abu idris said...

Ar Rayah World News
http://www.arrayah.info/
Berita Terkini Kebangkitan Negara Islam Global - Khilafah Islamiyah