Tok Mudim, buat ape tu?' Itulah dialog dalam iklan sebuah stesen televisyen tempatan.
Peranan tok mudim dalam tradisi masyarakat Melayu memang tidak boleh dinafikan.
Walau pun sudah ada doktor dan kemudahan perubatan serba canggih, istilah tok mudim tetap dikenali dan kadang-kadang menjadi bahan jenaka mencuit hati.
Kalau doktor terlibat dalam bermacam bentuk khidmat kesihatan, tok mudim hanya menawarkan satu khidmat sahaja, iaitu berkhatan atau bersunat.
Berkhatan adalah identiti muslim. Jika mayat pemuda Islam dan bukan Islam bercampur dan bergelimpangan, identiti khatanlah yang dapat membezakannya.
Yang berkhatan ditanam di pusara muslimin sementara yang tidak berkhatan di serahkan ke kuburan bukan Islam.
Khatan atau khitan dalam bahasa Arab bermaksud memotong 'qulfah' iaitu kulit yang menutup kepala zakar.
Hukum Khatan
Ada di kalangan ulama' iaitu termasuk Imam Abu Hanifah, Hasan Al-Basri dan sebahagian ulamak mazhab Hambali mengatakan hukumnya sunat sahaja.
Namun, kebanyakan ulama termasuk Amir al-Sya'bi, Rabi'ah, al-Auza'i, Yahya bin Said al-Ansari, Imam Malik, Imam Syafi'i dan Imam Ahmad berpegang bahawa hukum berkhatan adalah wajib.
Menurut Imam Malik, orang lelaki yang belum berkhatan tidak boleh menjadi imam sembahyang dan tidak layak menjadi saksi.
Hujah para ulama ini berasaskan beberapa dalil iaitu antaranya hadis Imam Ahmad dari 'Utsaim bin Kulaib, bahawa seorang sahabat datang kepada Nabi SAW dan berkata, 'Saya telah memeluk Islam'.
Baginda menjawab: 'Bersihkan dirimu dari rambut kekufuran dan berkhatanlah'.
Harb meriwayatkan daripada Al-Zuhri, katanya, Rasulullah saw telah bersabda; 'Barangsiapa yang memeluk Islam hendaklah berkhatan walau pun dia telah tua'.
Si Kulup
Malah Baginda Rasulullah SAW menyebut sacara khusus tentang kedudukan orang lelaki yang tidak berkhatan atau dalam istilah Baginda SAW 'al-aqlaf' yang boleh diterjemahkan dengan lidah Melayu sebagai si kulup. Rasulullah SAW menyebut si kulup tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa bersunat (riwayat al-Baihaqi). Waqi' pula meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya: 'Si kulup tidak diterima solatnya dan tidak boleh dimakan sembelihannya'.
Para ulama menyentuh secara jelas tentang masalah yang timbul bagi si kulup. Kewujudan lapisan kulit dikeliling kemaluan boleh menjejaskan kesucian diri. Bila si kulup kencing, air kencing mungkin melekat dan bertakung di kawasan berkenaan.
Membersihnya adalah sukar, hujah para ulama'.
Sedangkan solat itu hanya sah jika dia benar-benar suci dan bersih. Ustaz Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa inilah sebabnya para ulama salaf dan khalaf melarang si kulup menjadi imam.
Adapun, solat mereka sendiri boleh diterima sebagai status seorang yang tidak suci kerana uzur, sebagaimana solat orang mengidap penyakit tidak mampu mengawal kencing.
Tarbiyah dalam hukum khatan
Pada khatan itu ada tarbiyah. Muslimin sejak dari kecil diajar untuk menjadi bersih dan menjaga kesucian.
Sejarah khatan bermula sejak Nabi Ibrahim. Baginda yang berkhatan pada umur lapan puluh tahun, adalah orang yang paling awal berkhatan.
Para anbiya' dan keturunan Baginda selepas itu meneruskan tradisi berkhatan. Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Ayyub, katanya Rasulullah SAW bersabda: Empat perkara dari sunnah para Rasul iaitu: khatan, berwangi-wangian, bersiwak, dan nikah.
Sunnah Nabi Ibrahim berterusan hingga keturunannya termasuklah dari bangsa Arab. Oleh itu kebanyakan masyarakat Arab berkhatan sejak kecil.
Apabila Islam datang, mereka memeluk Islam yang sememangnya mewajibkan mereka bersunat. Oleh itu kita tidak berjumpa kisah sahabat berkhatan beramai-ramai apabila memeluk Islam dalam Sirah Rasulullah SAW.
Selepas dari itu khatan bukan sahaja menjadi adat bangsa Arab, bahkan menjadi sebahagian syariat yang perlu dipatuhi.
Khatan juga mengajar erti kepatuhan Yang Maha Kuasa. Walau pun khatan itu mungkin sedikit menyakitkan bagi anak-anak, namun disitu letaknya simbol ketaatan. Mesejnya mudah. Taat kepada Allah walaupun terpaksa sakit. Walau pun terpaksa 'mengorbankan' dan 'berpisah' dengan secebis kulit pada badan sendiri.
Aspek paling ketara ialah kesucian dan kebersihan. Allah mensyariatkah khatan bagi mendidik hambaNya agar menjaga kebersihan. Rangkuman hukum kewajipan solat, hukum bersuci, hukum istinja' dan hukum khatan ini menjadikan kaum muslim sepatutnya umat yang paling pembersih, paling wangi, paling sihat dan paling segar.
Inilah pembeda besar antara seorang muslim dan bukan muslim. Inilah juga syiar yang menunjukkan kehebatan Islam.
Khatan yang menyihatkan
Kebersihan membawa kepada kesihatan. Beberapa kajian telah dibuat bagi menunjukkan kelebihan berkhatan. Dr. Sobri Al-Qubbani dalam bukunya bertajuk 'Kehidupan dan Seksologi" menyebut bahawa khatan mendatangkan manfaat-manfaat berikut dari sudut kesihatan:
Khatan ini menjadi wajib apabila anak tersebut hampir aqil baligh, agar bila tiba umur mukallaf, dia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna dan diterima Allah.
Namun, lebih afdal, jika khatan itu dilakukan sewaktu anak masih kecil sama ada pada hari ke tujuh, empat belas, dua puluh satu atau seumpamanya.
Kini terdapat banyak klinik dan pusat rawatan yang menyediakan khidmat berkhatan bagi bayi sekitar umur berkenaan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang canggih.
Walau pun khatan waktu bayi belum menjadi budaya popular di Malaysia, diharap suatu hari nanti ramai yang memilih cara ini sesuai dengan amalan baginda Rasulullah SAW.
Dalam hadis riwayat al-Baihaqi, daripada Jabir r.a, bahawa Rasulullah SAW telah mengaqiqahkan untuk Al-Hasan dan Al-Husain, serta mengkhatankannya pada hari ketujuh.
No comments:
Post a Comment