Nabi s.a.w bersabda : “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. (Anas r.a)
Setiap manusia hendaklah menerima segala ujian Allah dengan hati yang tabah, sabar dan redha kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan pada dirinya. Jika ia membiasakan dirinya dengan amalan yang baik semasa ia sihat atau senang kemudian tidak dapat melakukannya disebabkan kesakitan atau kemalangan yang menimpanya, maka Allah memerintahkan malaikat amal mencatat amalan yang baik yang tidak dapat dikerjakannya itu.
Sekiranya Allah menyembuhkan sakitnya atau menghilangkan bencana yang menimpanya itu maka Allah jadikan ujian-Nya itu sebagai “kaffarah” (yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu) serta dijadikan hidupnya berkeadaan baru, suci dan bersih daripada dosa. Namun sekiranya Allah S.W.T sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia akan dikurniakan keampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.
Larangan Memohon Kematian.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya ; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya. Sebaliknya dia mestilah menyifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut. Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya. Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.
1 comment:
Alhamdulillah... benar..ujian dan dugaan dariNYA ada hikmah...
ujian dariNYA untuk menguji keimanan dan cinta kita pada Allah SWT..
Post a Comment