Sunday, December 19, 2010

=D.

Bismillahirrahmanirrahim....

Marilah sama-sama kita mengingati insan agung yang begitu mulia dan baik budi perkertinya, Nabi Muhammad s.a.w. Perbanyakkan selawat kepada banginda. Begitu banyak kisah hidup baginda dipahat menjadi sejarah agung yang tak mungkin kita lupakan. Mari kita renungkan kembali sebuah kisah baginda dengan seorang pengemis Yahudi..

“Wahai saudaraku, jangan engkau dekati Muhammad. Dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir. Apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya.” kata seorang pengemis Yahudi yang buta di suatu sudut pasar Madinah al-Munawwarah.

Ungkapan tersebut dilontarkan oleh si pengemis yang cukup benci dengan Baginda s.a.w. Setiap saat, pengemis itu tidak henti-henti menghamburkan kata-kata kesat tersebut di hadapan semua yang mengunjungi pasar itu. Berbeza pula dengan tindakan Baginda s.a.w. Setiap pagi, Baginda s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan. Tanpa berkata walau sepatah pun, Rasulullah s.a.w. menyuapi makanan ke mulut pengemis itu. Rutin harian Rasulullah s.a.w ini dilakukan sehinggalah menjelang ajal Baginda s.a.w.

Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, maka tiada lagi orang yang menyuapi makanan kepada pengemis tersebut sebagaimana kebiasaan. Bersendiri si pengemis tanpa ada yang menemaninya untuk merasa sesuap makanan.

Suatu hari, Abu Bakar r.a, mengunjungi rumah anaknya Aishah.

“Wahai anakku, masih adakah lagi sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?” tanya Abu Bakar.

“Wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunnah. Hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan melainkan satu sunnah sahaja.” ujar Aisyah menjawab pertanyaan ayahnya.


“Apakah itu?” tanya Abu Bakar.

Aisyah menjawab pertanyaan ayahnya, “Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana.”


Keesokan harinya Abu Bakar r.a. ke pasar tersebut dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis itu lantas memberi makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar mula menyuap makanan kepada pengemis tersebut, si pengemis marah sambil berteriak,

“Siapakah kamu?”

“Aku orang yang biasa” ujar Abu Bakar membalas pertanyaan si pengemis.

“Bukan! engkau bukanlah orang biasa yang mendatangiku. Apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya. Setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri”
Pengemis itu melanjutkan perkataannya berkenaan orang yang biasa menyuapinya kepada Abu Bakar r.a.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air mata kerinduannya terhadap Rasulullah s.a.w. Abu Bakar r.a. menangis sambil berkata kepada pengemis itu,

Aku memang bukan orang yang biasa datang menyuapimu makanan. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya. Orang mulia yang selalu berbuat baik kepadamu itu telah tiada. Dia adalah Muhammad, utusan Allah s.w.t.”
Abu Bakar r.a. menceritakan perkara yang sebenarnya kepada si pengemis.

Setelah mendengar cerita Abu Bakar r.a., pengemis tersebut sambil menangis berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia.”
Selepas meluahkan segala kekesalannya, pengemis Yahudi tersebut akhirnya melafazkan syahadah di hadapan Abu Bakar r.a.

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
(Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Malik, Ahmad, Hakim, At-Tabrani dan Bukhari)
Sesungguhnya budi pekerti yang baik dan sempurna itu hanyalah ada pada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w. walaupun cukup mengetahui pengemis buta itu selalu menghamburkan kata-kata yang menghina Baginda s.a.w., Baginda s.a.w tetap memperlakukan pengemis tersebut dengan akhlak yang baik dan terpuji.

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita seharusnya mengambil pengajaran di sebalik kisah kasih yang telah ditunjukkan oleh Baginda. Walaupun kita tidak mampu untuk mengikuti keseluruhan sunnah Baginda s.a.w, tidak alasan untuk kita tidak berusaha meneladani sedikit sebanyak sunnah Baginda s.a.w.

Wallahualam.....

No comments: