Sunday, June 13, 2010

Isteri.

Dalam kehidupan berumahtangga sudah tentu tidak dapat dielakkan perselisihan faham antara suami isteri. Sama ada ia berpunca dari suami atau pihak isteri. Namun apa yang penting ialah bagaimana mereka menghadapinya serta menyelesaikan masalah yang menimpa mereka.

Sesetengah suami apabila mendapati isterinya marah- marah, terus tinggalkan isteri tanpa menyelidik apa punca sebenar. Kadang-kadang sampai berhari-hari tidak pulang kerana runsing dengan karenah isteri yang suka mengamuk dan membebel. Tidak kurang juga yang mencari hiburan luar, semata-mata untuk menenangkan fikiran yang runsing itu. Malah ada yang bermain kayu tiga kononnya isteri di rumah tidak pandai melayan, hanya suka marah-marah sahaja.

Kalau begini tindakan yang diambil, sebenarnya ia bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambah masalah.Suami adalah pemimpin dan guru kepada isterinya. Suami tidak seharusnya hanya mengeluh dan menyalahkan isteri semata-mata tanpa mendidiknya terlebih dahulu. Sebagai suami, di samping tugasnya mencari nafkah untuk seisi keluarga, dia juga wajib mendidik isteri serta anak-anaknya. Dan proses mendidik ini bukan cukup hanya sekali dua dinasihati, tetapi ia memakan masa yang lama


Pada saat isteri sedang marah-marah, janganlah dihadapi isteri dalam keadaan marah-marah juga. Lebih-lebih lagi jangan menghadapinya dengan kasar, keras atau menghukumnya. Sebab wanita itu lemah, dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok, kalau dikasari ia akan terus bengkok dan mungkin patah. Rasulullah SAW bersabda :

“Hendaklah kamu berlaku dan berbicara baik-baik dengan wanita, kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok ialah yang berada di bahagian atas. Jika kamu meluruskannya ia akan patah dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok. Kerana itu hendaklah kamu berlaku dan berbicara baik-baik dengan wanitaSuami hendaklah bijaksana dalam menghadapi ragam isteri serta sentiasa bersabar dan tidak tergesa-gesa mengambil tindakan.Dalam hal ini, Rasullullah SAW merupakan contoh terbaik dan sempurna.Baginda berlaku begitu adil dan baik terhadap isteri-isterinya. Bahkan bagindalah orang yang paling tabah dan sabar menghadapi ragam ketika sedang marah, memperlihatkan rasa cemburu atau di saat sedang berselisih faham dalam sesuatu perkara. Semuanya itu baginda hadapi dengan lemah lembut, penuh berhikmah dan kasih sayang, sambil memberikan peringatan yang baik.

Pernah berlaku wanita seramai 70 orang berkumpul di kediaman isteri Rasulullah SAW, semuanya mengeluh dan saling menyalahkan pelakuan suami masing-masing. Apabila perkara ini diketahui oleh Rasulullah SAW, baginda tidak terus marah malah tetap bersabar. Baginda bersumpah tidak akan menghampiri kesemua isterinya selama sebulan.

Tindakan itu baginda lakukan sebagai pendidikan kepada mereka. Tatkala itu baginda benar-benar pandai meletakkan kesabaran pada tempatnya dan menempatkan kemarahan pada tempatnya. Hasil daripada tindakan itu, kesemua isteri baginda bertaubat dengan bersungguh-sungguh hati menyesali perbuatan mereka. Begitu didikan Rasulullah yang sangat berkesan pada isteri-isteri baginda.

Begitu juga dengan para Sahabat, mereka mengambil sikap sabar apabila ada sesuatu perkara yang tidak kena dengan isteri mereka. Pernah pada satu ketika datang seorang lelaki ke rumah Khalifah Umar Ibnu Khattab r.a untuk mengadukan karenah isterinya. Beberapa saat lamanya dia menunggu si sepan pintu, tiba-tba dia terdengar suara isteri Khalifah Umar sedang marah-marah pada suaminya, tetapi Khalifah tetap diam dan tidak menyahut. Melihatkan keadaan seperti itu lelaki tersebut pergi meninggalkan tempat itu sambil berkata pada dirinya: “Kalau keadaan Amirul Mukminin seperti itu, apa lagilah keadaanku!

Tetapi sebaik sahaja dia hendak melangkah pergi, Khalifah Umar keluar dan memanggilnya. Umar bertanya, “Apakah tujuan kedatnganmu? “Ya Amirul Mukminin, aku datang untuk mengadu kelakuan isteriku. Dia sangat cerewet dan sering menghamburkan kata-kata kesat kepadaku. Akan tetapi apabila aku sampai di depan rumah Amirul Mukminin, aku dengar isteri tuan juga sama dengan isteriku. Kerananya aku lalu berfikir, “Kalau isteri Amirul Mukminin pun seperti itu, apa lagilah isteriku.

Khalifah Umar menjawab: “Aku tabah dan sabar menghadapi kenyataan itu kerana dia telah menunaikan kewajipan dengan baik terhadap diriku. Dialah yang memasak makananku, dialah yang membuat roti bagiku, dialah yang mencuci pakaianku, dialah yang menyusukan anak-anakku, padahal itu bukan merupakan kewajipan baginya.

“Dan dialah juga yang mententeramkan hatiku sehingga aku dapat menjauhkan diriku dari perbuatan yang haram. Kerana itulah aku tabah dan sabar mendengarkan apa sahaja yang dikatakannya mengenai diriku! Lelaki itu menyahut: “Ya Amirul Mukminin, demikian juga isteriku!

Khalifah Umar kemudian menasihatinya: “Saudara, bersabarlah menghadapi isterimu, kerana keadaannya itu hanya sebentar sahaja.

Jadi, para suami hendalah selalu bertolak ansur dan memberi kemaafan sekiranya berlaku krisis dengan isteri. Tidak ada gunanya diikutkan rasa marah kerana marah adalah kunci kepada segala kebencian dan pergaduhan. Tidak rugi kepada orang yang menahan rasa marahnya. Hadis Rasulullah SAW :

“Ada tiga perkara yang jika ada antara kamu yang melakukannya Allah berkenan melimpahkan perlindungan dan rahmat kepadanya serta memasukkannya ke dalam Syurga-Nya. Iaitu orang yang jika yang diberi ia berterima kasih (bersyukur), jika diperlakukan hal yang buruk ia memberi maaf dan jika marah ia dapat menahan diri.

Rasulullah SAW juga bersabda “Siapa yang sabar menghadapi perlakuan buruk isterinya, Allah akan memberinya balasan pahala seperti yang diberikanNya kepada Nabi Ayub atas ketabahannya menghadapi cubaan dan sikap isterinya, manakala isteri yang sabar menghadapi perlakuan buruk suaminya, Allah akan memberinya balasan pahala seperti yang diberikanNya kepada Asiah, isteri Firaun.

Bagi para suami yang selau runsing memikirkan sikap isterinya yang buruk itu, bersabarlah kerana ia akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Namun, jangan dibiarkan terus sikap isteri yang suka mengamuk itu, berusahalah dan sentiasa mohon kepada Allah moga-moga diberikan kekuatan untuk mendidik isteri.

2 comments:

siti nurhana said...

like! sesuai utk suami ni. hihi ;D

. said...

;).kann.slmt share ngan ee. heeehe ;))